Benarkah lelaki curang sebab isteri malas membelai? Lelaki selalunya akan memberikan alasan isteri tidak lagi memberikan perhatian atau isteri tidak lagi mengancam atau isteri itu ini begitu begini, untuk menghalalkan tindakan mengapa mereka curang. Zalim sungguh kaum Adam, ya. Biar seribu alasan yang boleh mereka beri, saya ingin mengajak kaum Hawa dan kaum Adam meluangkan sedikit masa membaca entry kali ini.
Isteri diciptakan untuk menenteramkan hati suami. Seberapa berat pun tugas dan peranannya dalam rumahtangga, isteri yang baik akan sentiasa bersedia menyediakan hatinya untuk suami merasakan keselesaan. Mengapa hati? Ya, kerana hati anda adalah punca kesempurnaan keperibadian anda di sisi suami.
Bayangkanlah jika hati anda sakit, mesti porak peranda isi rumah, anak-anak disakiti perasaannya, suami pula umpama penjenayah yang dimusuhi. Tiada sedikit pun kebaikan suami yang diingat, semua terkubur hanya kerana anda tidak puas hati dengan kesalahan remeh yang dilakukannya.
Jika hati isteri sakit, dia hanya mahu suami memujuk dan membelai, mengalah dan kalau boleh mencium kaki meminta maaf. Tetapi, dia tidak sedar bahawa suami pun memiliki hati yang akan terluka jika terus menerus ditekan dan dipersalahkan atas semua konflik yang berlaku.
Suami juga manusia yang perlukan belaian, kasih sayang dan teman untuk berkongsi rasa. Dia bukanlah sebuah robot yang hanya tahu menjalankan tanggungjawap, menyelesaikan tugasan dan menyediakan diri untuk semata-mata berkhidmat. Suami dan isteri hakikatnya sama-sama memiliki perasaan dan akal fikiran.
Satu kelemahan yang amat ketara dalam diri suami dan isteri adalah kurangnya kemahiran membelai pasangan. Bukan hanya isteri yang mempunyai masalah sebegini, suami pula kadang-kadang memandang remeh masalah ‘sentuhan’ ke jiwa isteri.
Beban kerja di pejabat yang sudah terlalu berat, ditambah pula usaha mencari pendapatan sampingan di luar waktu pejabat yang memenatkan fikiran dan tubuh badan, di rumah suami mesti bertarung pula untuk mempastikan perasaan isteri tidak tercedera. Masa amat mencemburui mereka berdua, kadang-kadang sentuhan dan belaian yang diberi seolah-olah sekadar basa-basi sahaja. Lebih teruk lagi, mereka telah kepenatan dengan komitmen lain sehingga sama-sama rela tidak dibelai dan membelai.
Apabila mereka lebih banyak menghabiskan waktu dengan teman sekerja dalam menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain, maka tiada maknanya perkahwinan itu berdiri. Masing-masing tidak mampu menjalankan fungsi dan tanggungjawapnya kepada pasangan.
Akibatnya terjadi banyak perceraian dalam kehidupan metropolitan yang mencabar iman kerana suami dan isteri tidak memiliki masa yang cukup untuk bersama. Sebenarnya benang yang kusut itu dapat dileraikan jika mereka mahu berusaha dan bekerja keras mendapatkan kembali belaian dari pasangan masing-masing. Jadi bagaimana teknik membelai pasangan untuk mereka yang sibuk?
Berjanjilah untuk menjayakan pertemuan dengan gembira
Sudahlah jarang bersama, masing-masing kepenatan jadi apabila bertemu, ambil peluang pula untuk bercakaran. Simpan dulu rasa tidak puas hati terhadap pasangan, tinggalkan dulu pakaian dari dunia luar sana yang penuh tekanan dan kesedihan, gantilah dengan baju baru, suasana baru dan pembawaan imej diri yang segar, ceria dan gembira.
Bukan anda seorang saja yang mesti melakukannya, tapi buatlah ‘aku janji’ dengan pasangan anda jika bertemu, kedua-duanya mesti melupakan kesedihan dan stress dari luar rumah. Pertemuan yang indah tidak akan berjaya jika suami melampiaskan kemarahannya kepada isteri akibat tekanan dari luar, begitu pula isteri yang suka merungut di depan suami semua serba tak cukup, susah dan mengadu perkara-perkara yang tak sedap didengar telinga suami. Cubalah berjanji dengan pasangan, setiap kali bertemu, anda berdua mesti melupakan kesedihan dan tekanan sebaliknya meraikan pasangan dengan gembira.
Singkirkan gangguan yang menjejaskan misi romantik
Suami perlu bersedia apabila berjumpa isteri, begitu juga dengan isteri, sekurang-kurangnya menyikat rambut dan memakai pakaian yang wangi dan cantik. Mereka mesti pandai membangkitkan syahwat pasangannya dengan pelbagai gaya romantik, tidak semestinya berakhir dengan hubungan seks, sekurang-kurangnya sentuhan dan belaian ikhlas itu boleh menenteramkan hati.
Singkirkan rasa malu, takut bertepuk sebelah tangan dan keraguan untuk membelai pasangan. Kalau anda tidak mulakan, Mungkin tiada peluang lagi untuk memperbaiki hubungan. Kalau suami mengeluh kepenatan, anda boleh melakukan urutan untuk melegakannya. Suami mesti adil jika isteri mennyentuh, sekurang-kurangnya berikanlah respons positif.
Jangan habiskan malam di bawah kawalan internet dan membiarkan isteri putus asa di dalam bilik tidurnya. Agihkan masa dengan bertanggungjawap, jika mahu melakukan sesuatu, ajaklah isteri bersama-sama.
Libatkan isteri walaupun anda terlalu sibuk, sekurang-kurangnya minta dia duduk menemani anda sambil bersentuhan kulit. Isteri pula jangan leka dengan anak-anak sehingga melalaikan suami. Setiap malam tidur bersama anak dan suami pula tidak berpeluang merasai hangatnya degupan jantung isteri.
Masa bersama pasangan menjanjikan syurga
Sekali lagi anda mesti mengejar masa. Masa bersama suami adalah ibadah yang akan mendatangkan ganjaran besar. Dari mula memandangnya, bercakap manis dan menyentuhnya, mempamerkan senyuman ikhlas, ketawa bahagia dan lupakan sengketa adalah pahala.
Menyediakan segala keperluan, mengenyangkan perut dan menghapuskan dahaga akan mengalirkan pahala ke dalam catatan amal seorang isteri. Suami pula membalas kebaikan isteri dengan layanan yang lebih baik lagi seolah-olah sedang membina mahligai cinta mereka di syurga.
Pasangan anda adalah sumber pahala dan kebaikan, Namun mereka boleh berubah menjadi mimpi ngeri dan neraka hidup jika anda tidak melayan pasangan dengan niat ibadah kerana Allah.
Belaian iman jangan dilupakan
Kadang-kadang semua telah pun dilakukan untuk membuat pasangan anda bahagia, dengan pengorbanan mental, fizikal dan wang ringgit yang tidak terkira. Namun tidak jua datang harapan indah hidup bersamanya. Mengapa? Kerana anda dan suami melupakan belaian iman di jiwa.
Kembalilah kepada agama, tuntunlah pasangan anda mendekatkan diri kepada Allah. Hubungan yang rapat dengan Tuhan akan membersihkan hati, menguatkan keyakinan dan mendatangkan cinta yang tulus. Iman pasti mampu menjaga setiap pasangan dari penyelewengan nafsu yang memburu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan